A blog about life, inspiration, quotes and mostly my random stuff .

Travel Tour Package

trazy.com

Sunday 2 March 2014

kerana dirimu begitu berharga

Sejak kebelakangan ini, saya seringkali mendengar dan terbaca artikel tentang teguran terhadap para da’ie agar tidak menghukum dan memandang serong kepada muslimah yang tidak berhijab dengan hujah bahawa mereka ini (iaitu muslimah yang tidak menutup aurat) masih belum mendapat hidayah Allah dan belum ada kekuatan untuk berhijab. Mereka juga mengatakan golongan muslimah yang tidak berhijab ini jika satu hari telah mendapat hidayah dan bertaubat dengan taubat yang murni, mereka ini jauh lebih baik dan lebih mulia. Maka dicananglah kisah seorang pelacur yang dapat memasuki syurga kerana telah memberikan minuman kepada seekor anjing.
Dari satu sisi, saya bersetuju dengan pendapat si ‘penulis’ tentang isu ini. Soal hidayah adalah hak mutlak Allah. DIA berhak berikan kepada sesiapa saja hambaNYA di dunia ini. Kita hanya membenci dosa yang dilakukan, tapi bukan benci kepada si pelaku dosa. Namun jauh disudut hati, saya risau sekiranya penulisan seperti itu menjadi ‘tiket’ kepada para wanita muslim yang masih belum bertudung di luar sana untuk terus-terusan dengan dosa membuka aurat.
Kenapa perlu tangguh?
Perintah menutup aurat adalah perintah ALLAH. Siapa ALLAH? Allah adalah tuhan yang menciptakan segala sesuatu baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi. Seluruh makhluk bertasbih dan memuji kebesaran zat Allah. Setiap perintah Allah wajib kita patuh, tunduk dan taat. Siapalah kita untuk ingkar terhadap perintah Allah, sedangkan apapun yang kita miliki hari ini termasuk jasad kita adalah milik Allah? Tidak ada hatta sebesar zarah milik kita. Jadi mengapa perlu ingkar? Mengapa perlu bertangguh-tangguh dalam mentaati perintahNYA? Analoginya mudah. Jika kita berkerja dalam sebuah syarikat, pasti kita akan tunduk dan patuh pada peraturan serta arahan dari majikan kita, bukan? Kalau kita ingkar, kita akan dibuang kerja dan hilang punca pendapatan. Nah, begitulah juga kita dengan Allah. Ingkar arahan Allah, bererti kita menzalimi diri sendiri dan hilanglah keberkatan dalam hidup kita. Maka saudariku, ayuhlah. Jangan bertangguh dalam menyahut seruan menutup aurat. Hukum menutup aurat bukan perkara furu’. Tiada perselisihan di kalangan ulama tentang soal aurat baik lelaki atau wanita. Jangan kata tunggu dulu, mulakan sekarang. Takut kita tidak punya banyak masa untuk terus bertangguh.Ingat, ajal kita juga tidak bertangguh!
Kekuatan bukan ditunggu, RAIH!!
Kemudian lagi, terdengar suara-suara yang merintih, saya belum ada kekuatan untuk menutup aurat. Saya belum bersedia untuk menutup aurat. Hati saya belum terbuka dan pelbagai lagi. Secara peribadi, saya melihat ini semua sebagai alasan dan hasutan iblis untuk terus memberi alasan untuk tidak menutup aurat dan tunduk pada perintah Allah. Saudariku, kekuatan untuk menutup aurat bukanlah ditunggu. Bila kita faham bahawa hukum menutup aurat itu wajib, ketahuilah bahawa kefahaman itu juga adalah hidayah Allah. Maka bertindaklah dan mulakan langkah pertama. Tidak perlu istikharah, tidak perlu mohon petunjuk Allah. Anda hanya perlu tekadkan keyakinan dan kuatkan iman. Tidak rugi kita untuk akur pada perintah Allah. DIA yang menciptakan kita, DIA jualah yg tahu segala yang terbaik untuk kita. Tidak masuk akal, Allah SWT dengan segala sifatNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sengaja untuk menzalimi dan menyusahkan hamba-hambaNYA. Bahkan, Allah SWT ingin memberikan kita lebih banyak kemudahan dan kesenangan di akhirat nanti. Jangan ragu wahai saudariku. Iblis pasti tetap membisikkan perkara yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan kita. Tinggalkan mereka, berhijablah. Biarkan iblis dan konco-konconya menangis meraung kerana usahanya tidak berjaya mengheret kita masuk ke neraka. Raihlah kekuatan itu dan dalam masa yang sama kita juga meraih cinta Kekasih agung kita. Bukankah itu lebih bernilai dari harta seluruh dunia?
Jadilah Muslim Yang Berkualiti
Seperkara lagi yang ingin saya sentuh, tentang fesyen bertudung yang semakin berkembang di kalangan masyarakat kita. Saya berlapang dada. Islam bukan anti fesyen. Islam anti dedah aurat dalam berfesyen. Itu kata-kata yang saya ingat selepas menghadiri forum Ustazah Fatimah Syarha. Islam tidak melarang umatnya untuk kelihatan cantik, tetapi haruslah dalam batas syariat. Apapun jenis dan fesyen tudung yang kita pakai, itu pilihan kita dan dibenarkan selagi ia tidak melanggar batas yang telah digariskan. Tidak semestinya berhijab itu dengan mengenakan tudung labuh semata-mata. Asalkan tudung yang dipakai itu menutup dada, tidak nipis, tidak bersanggul tinggi-tinggi dan dipakai bersama dengan baju yang longgar, maka itu sudah mencukupi dalam konteks menutup aurat dengan sempurna. Janganlah imej bertudung itu dirosakkan dengan fesyen yang melampaui batas. Jadilah muslim yang membawa imej Islam yang sebenarnya. Ikutlah neraca dan piawaian Allah, nescaya hati akan tenang dan lapang. Jangan jadi mangsa fesyen sehingga kita sanggup menggadaikan maruah dan imej Islam.
Kesimpulan.
Setiap kita mungkin mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza dalam mendepani muslimah-muslimah yang masih tidak bertudung. Ada yang tegas dan ada juga yang berlembut. Walauapapun cara kita, matlamat kita tetap sama iaitu untuk menarik lebih ramai tangan-tangan saudara seakidah kita untuk sama-sama melangkah ke syurga Allah. Syurga Allah itu sangatlah luas. Jangan pernah bermimpi untuk masuk ke Jannah seorang diri. Masuklah bersama dengan orang-orang yang kita sayang agar kebahagiaan dan kenikmatan itu dapat kita rasai bersama. Syurga bukan milik kita, ia milik hamba-hamba Allah yang bertakwa. Ayuh masuk syurga.

penulis : Saif Ad-Deen

No comments:

Post a Comment